Zahid jumpa Tok Mat, tiga naib presiden Umno

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Timbalannya dan empat Naib Presiden parti itu petang semalam.

Menerusi hantaran Facebook Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan pertemuan itu bagi membincangkan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dalam hantaran ringkas itu juga, Mohamad turut memuatnaik foto perjumpaan pucuk pimpinan Umno itu dipercayai di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn.

Selain Ahmad Zahid dan Mohamad, pertemuan itu juga dihadiri tiga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tanpa kehadiran pemimpin lain.

“Minum teh petang semalam sambil berbincang bersama Presiden Umno, YAB Perdana Menteri dan naib-naib presiden untuk persiapan menghadapi PRN Melaka, Insha Allah,” tulisnya ringkas.

Difahamkan, selain mengenai PRN Melaka, pertemuan itu juga dipercayai sebagai persediaan menjelang Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, malam esok.

Mesyuarat MKT itu menjadi tumpuan kerana Umno dijangka akan memuktamadkan keputusan untuk berkerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam PRN berkenaan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berulang kali menegaskan bahawa parti itu akan bergerak solo dalam PRN Melaka menggunakan panji Barisan Nasional (BN) sejurus gendang perang PRN Melaka dipalu.

Namun, keputusan Ahmad Zahid itu tidak senada dengan pendirian pihak tertentu yang menyifatkan ia percaturan merugikan sekali gus memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan sama ada Umno akan meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi MN PRN Melaka akan dimuktamadkan pada Mesyuarat MKT Umno, malam esok.

Beliau menegaskan keputusan itu akan dibuat pucuk pimpinan parti dan meminta semua pihak menunggu keputusan rasmi pucuk pimpinan parti.

Pada 13 Oktober lalu, Ahmad Zahid menegaskan Umno tidak akan bekerjasama dengan PAS melalui MN pada PRN Melaka.

Sebaliknya beliau menegaskan, Umno akan bertanding di bawah panji BN secara solo dan terpulang kepada rakyat untuk memilih mana-mana parti terbaik. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Haji Mohamad bin Haji Hasan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here