‘Dia anak muda, sepatutnya jalani pemulihan bukan dibicarakan’ – peguam

0
2

ARYAN Khan ditangkap secara salah dengan ‘tiada pengambilan atau pemilikan dadah’ pada tertuduh, demikian tegas bekas Peguam Negara, Mukul Rohatgi.

Mukul Rohatgi yang mewakili anak lelaki kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan itu berkata demikian ketika permohonan ikat jamin di Mahkamah Tinggi Bombay semalam, lapor NDTV.

Menurut beliau, kes Aryan melibatkan kuantiti kecil dadah yang memerlukan pemulihan dan bukannya hukuman penjara.

Mukul Rohatgi berhujah, kes terhadap Aryan adalah berdasarkan kepada perbualan lama di WhatsApp yang tidak relevan dan tiada kaitan dengan apa yang berlaku ketika parti di kapal persiaran itu.

“Tiada pengambilan (dadah), dan oleh itu, tidak perlu tahan dia (Aryan). Dia adalah anak muda, mereka boleh dihantar ke pemulihan dan tidak perlu menjalani perbicaraan,” katanya.

Aryan Khan terpaksa bermalam sekali lagi di penjara selepas pendengaran permohonan ikat jamin akan disambung petang nanti.

Dilabel ‘Tertuduh No. 1’ dalam kes itu, dia dipenjarakan sejak 8 Oktober lalu selepas ditahan dalam serbuan dadah di sebuah parti kapal persiaran, 2 Oktober, oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB).

Sebelum ini, Mahkamah Khas Mumbai menolak permohonan ikat jamin ke atas Aryan yang ketika ini ditahan di Penjara Arthur Road atas kesalahan itu. – Malaysiapost

Kredit Foto: Muslim Mirror

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here