SEBANYAK 5,726 kes Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 2,442,224 kes direkodkan sejak wabak berkenaan melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 15 kes daripadanya membabitkan kes import iaitu sembilan warganegara dan enam bukan warganegara manakala jangkitan tempatan
5,711 kes membabitkan 5,489 warganegara dan 222 bukan warganegara.
“Kes sembuh direkodkan hari ini pula adalah sebanyak 5,607 kes menjadikan keseluruhan 2,340,390 kes yang sudah pulih.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 598 kes (512 kes disahkan Covid-19; 86 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kes yang memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 308 kes membabitkan 219 kes disahkan Covid-19; 89 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.
Beliau berkata, secara keseluruhan 5,735 kluster direkodkan setakat ini termasuk tujuh kluster baharu, manakala kluster yang telah tamat adalah 5,229 kluster dan jumlah kluster masih aktif adalah 506 kluster.
“Secara keseluruhan daripada 5,726 kes harian baharu yang dilaporkan pada hari ini; 97 kes (1.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Selebihnya 5,629 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya. – Malaysiapost

