AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer sekali lagi menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat apabila mengganggu sesi perbahasan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, hari ini.
Beliau mencelah ketika Azeez Rahim menceritakan pengalamannya bercakap dengan gajah dalam bahasa Tamil dan mendakwa perbuatan itu menghina bahasa berkenaan.
Abdul Azeez ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (PIndaan) 2021 menceritakan pengalamannya bercakap dengan seekor gajah liar yang tersesat di kawasan penduduk di Bukit Hijau, Baling.
Menurutnya, dia diberitahu gajah memahami bahasa Tamil, Thai dan Myanmar menyebabkan dia yang pandai berbahasa Tamil menggunakannya untuk memujuk gajah berkenaan untuk dipindahkan ke habitat lain.
Ketika mengulangi apa yang dikatakan kepada gajah berkenaan dalam bahasa Tamil dengan izin Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, Rayer bangun mencelah mendakwa tindakan Abdul Azeez itu menghina bahasa Tamil.
Rayer menggunakan peraturan mesyuarat dan meminta agar Abdul Azeez menarik balik kenyataan dan memohon maaf.
Azhar kemudiannya menyatakan beliau tidak menerima bantahan Rayer dan mempertahankan tindakan Abdul Azeez bukan menghina bahasa Tamil.
Ingkar arahan Azhar, Rayer terus bangun dan mengganggu perbahasan walaupun Azhar berulang kali mengarahkan beliau duduk termasuk terpaksa meninggikan sedikit suaranya.
“Saya lihat YB macam kilang marah …mudah marah.
“Saya sudah putuskan tidak meminta beliau (Abdul Azeez) duduk, rayuan YB (Rayer) tidak diterima,” katanya.
Azhar kemudian mengarahkan Rayer keluar Dewan Rakyat untuk tempoh 10 minit dan meminta bentara mengiringinya keluar. – Malaysiapost

