Bekas timbalan menteri meninggal dunia

0
1

AHLI Dewan Negara Senator Datuk Guan Dee Kohoi, 69, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 4.50 petang tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan kerana sakit dada.

Mendiang berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional pada petang Ahad tetapi tidak hadir selepas didapati positif Covid-19.

Guan Dee dimasukkan ke hospital pada jam 5 pagi tadi oleh pembantunya selepas mengadu sakit di bahagian dada. Berita kematian Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dikongsi di Facebook parti itu.


“Dukacita dimaklumkan, Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Guandee Ko Hoi telah dipanggil Tuhan pada jam 4.50 petang tadi di HKL.


“Semoga roh mendiang bersemadi dengan aman,” menurut perkongsian itu.


Mendiang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh 16 Disember 2020 hingga 15 Disember 2023.

Guan Dee, 69, dilantik Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam Kabinet diketuai Muhyiddin pada Mac tahun lalu.


Presiden STAR Datuk Seri Jeffrey Kitingan menzahirkan rasa sedih dengan berita itu dan menyifatkan parti kehilangan seorang pahlawan dan ahlinya yang paling berharga.


“Guan Dee adalah sekutu saya yang paling setia dan kawan paling saya sayangi. Dia telah bersama saya dalam susah dan senang, walaupun ketika saya tidak mempunyai apa-apa, dia tidak pernah meninggalkan saya malah membantu saya.


“Ia sangat sukar untuk menggantikannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Jeffrey berkata, kali terakhir mereka berhubung adalah pada pukul 10 pagi hari ini, apabila mendiang menghubunginya dari hospital.


“Dia memberitahu saya dia baik-baik saja dan tidak perlu risau. Dia memberi jaminan akan keluar dalam masa tiga, empat hari lagi. Ia benar-benar melukakan hati saya,” katanya.


Difahamkan keluarga mendiang kecuali isterinya, yang juga positif Covid-19, sudah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here