Diplomasi lebih bernilai daripada aset ketenteraan – Hishammuddin

0
2
https://www.facebook.com/photo?fbid=431385698356560&set=pcb.431385938356536

DIPLOMASI ketenteraan lebih berharga berbanding aset ketenteraan bernilai berbilion ringgit dalam menjamin kedaulatan dan kepentingan negara khususnya di rantau ASEAN, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurutnya, Malaysia berada posisi yang sangat strategik susulan hubungan dua hala yang baik dengan China dan juga dengan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, selain itu Malaysia turut mempunyai hubungan pelbagai hala dengan negara-negara ASEAN dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

“Hari ini saya menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bukit Bendera (Wong Hon Wai-DAP) mengenai kerelevanan FPDA.

“Saya telah menyatakan bahawa bukan mudah dan cukup kompleks untuk mengharungi pertimbangan kuasa-kuasa besar di rantau ini khususnya Selat Laut China Selatan

“Tetapi hubungan dua hala yang wujud di antara Malaysia dengan China dan Malaysia dengan AS ditambah pula hubungan pelbagai hala sama ada ASEAN atau FPDA telah meletakkan Malaysia pada satu posisi yang cukup strategik,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau menyatakan berasa bangga dengan Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah dalam meraikan 50 tahun kewujudan FPDA baru-baru ini.

“Dan saya sendiri mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Lima Negara iaitu Malaysia, Singapura, United Kingdom (UK), New Zealand dan Australia.

“Ia merupakan satu lagi kelebihan yang ada dalam kita nak menyelami dan mengikuti geo politik rantau ini.

“Yang penting saya tekankan apa jua hubungan yang kita wujudkan dengan kuasa-kuasa besar atau dengan negara-negara anggota ASEAN atau FPDA ia tidak bermakna kita akan berkompromi soal kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.

Hishammuddin menegaskan, negara tidak perlu bimbang kerana diplomasi pertahanan yang wujud hari ini merupakan antara dasar yang dipegang di Kementerian Pertahanan yang sekarang ini sudah nampak hasilnya.

Beliau turut memaklumkan, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto akan membuat lawatan ke Malaysia pada Khamis ini dan beliau telah menghubungi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN yang lain berhubung perkara itu. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Hishammuddin Hussein

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here