
PELAWAK dan pelakon terkenal, Harith Iskandar bakal berdepan tindakan undang-undang berhubung kandungan bual bicaranya bersama usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang dikatakan berat sebelah.
Bekas pengurus usahawan itu dikenali sebagai Nurnilam Sari, berkata tindakan Harith sebagai hos dalam bual bicara itu bertentangan undang-undang kerana membenarkan orang bersalah bercakap berhubung kes penipuan yang telah diadili di mahkamah.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada Harith Iskandar kerana membenarkan orang bersalah bercakap mengenai kes penipuan yang telah diadili di mahkamah. Mencemarkan maruah dan reputasi.
“Bila seseorang menjatuhkan reputasi kita dengan membiarkan orang bersalah bersuara, serta cuba membuat fakta yang salah. Jadi, hati-hati Harith dengan temu bual anda secara siaran langsung,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Nurnilam berkata, dalam bual bicara disiarkan secara langsung menerusi Facebook itu Muhammad Sajjad banyak memutarbelitkan fakta dan menjelaskan isu mahkamah berkaitan kes penipuan dengan cara salah.
Katanya, pendedahan dibuat usahawan kosmetik itu ternyata bohong kerana sebenarnya beliau adalah ‘mangsa’.
“Banyak betul putar belit kau ya Sajat. Nak sangat ke aku mendedahkan semua bukti kau masa dekat mahkamah. Bukti dalam mahkamah ini perkara yang tidak boleh ditipu ya. Fakta bukan auta.
“Eh tiba-tiba kata kita Perhubungan Awam (PR) dan Pemasaran mengurus stokis. Salah itu Sajat. Kita Pengurus Besar awak dulu, pencacai mengurus segala untuk awak.
“Sampai duit kita pun pinjam berjuta kan. Cakap serupa ular,” dedahnya lagi.
Mengulas perkara tersebut, Harith menjelaskan beliau sama sekali tidak berpihak kepada mana-mana individu seperti dikatakan berat sebelah semasa bual bicara secara langsung itu.
Harith menerusi hantaran Facebook berkata, tujuannya hanya mahu rakyat mendengar sendiri apa yang diperkatakan Muhammad Sajjad dari mulutnya sendiri.
Terdahulu, menerusi bual bicara itu usahawan kontroversi itu mendedahkan apa yang terjadi dalam hidupnya berhubung beberapa isu sehingga mengambil tindakan melarikan diri ke luar negara.
Dalam siaran itu juga, Muhammad Sajjad mengakui dirinya adalah ‘transwomen’ dan telah menukar sepenuhnya untuk kelihatan seperti seorang wanita. – Malaysiapost
