SEBANYAK 3,419 notis kesalahan merokok di premis makanan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 sejak peraturan itu dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2020 hingga 24 Oktober lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) jumlah notis itu termasuk aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di Kepong oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kepong pada 23 Oktober lalu.
“Dalam operasi itu, 20 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B dikeluarkan.
“Ia melibatkan 15 kesalahan merokok di tempat makan dan lima kesalahan dikenakan ke atas pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing,” katanya.
Menurut KKM, sebanyak 41 notis kesalahan juga dikeluarkan bagi kesalahan merokok di kompleks beli-belah.
Di Johor Bahru pula, kata KKM sebanyak 30 notis kesalahan dikeluarkan melibatkan 23 kesalahan merokok di tempat makan dan tiga kesalahan dikenakan ke atas pemilik premis.
Menurutnya, operasi penguatkuasaam oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor pada 25 Oktober itu turut mengeluarkan empat notis kesalahan bagi kesalahan merokok di tempat larangan lain.
“Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di tempat makan akan dikenakan kompaun RM250.
Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh SATU BULAN daripada tarikh izin kompaun diterima.
“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.
Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya. – Malaysiapost

