MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyambut baik cadangan mengadakan siaran langsung di televisyen dan dalam talian secara serentak perdebatannya dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung isu dasar kabotaj.
Beliau berkata, terdapat usaha membabitkan pihak Astro Awani yang sedia bekerjasama dengan TV3 untuk membuat liputan secara serentak perdebatan yang dijadualkan pada 2 November ini.
“Saya dihubungi oleh pihak Astro Awani semalam untuk berbincang tentang perdebatan saya dengan Guan Eng yang dijadualkan pada 2 November ini.
“Terima kasih kepada pihak Astro kerana menghubungi saya, walaupun terlewat sedikit berbanding TV3 yang sebelum ini telah menghubungi saya sejak 25 hari yang lalu.
“Sebagai pemimpin politik yang berprinsip, saya berpegang kepada janji bahawa ‘the first right of refusal’ patut diberikan kepada stesen TV yang paling awal menghubungi saya sebagai tanda hormat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, penerbit Astro Awani juga faham tentang prinsip dan pendiriannya yang telah bersetuju dengan tarikh cadangan debat mengikut perancangan TV3.
“Bagaimanapun, sesuatu yang agak menarik ialah apabila pihak Astro Awani sedia bekerjasama dengan TV3 untuk membuat liputan secara serentak.
“Pihak Astro memberitahu saya bahawa mereka akan berbincang dengan pihak TV3 berhubung perkara ini serta tertakluk kepada persetujuan TV3. Doakan yang terbaik, mudah-mudahan ada kolaborasi antara TV3 dan Astro,” katanya.
Ka Siong berpendapat, adalah lebih bagus jika TV3 dan Astro Awani dapat buat siaran langsung dalam TV dan juga platform dalam talian secara serentak.
“Saya lagi suka jika rakyat umum boleh memahami dasar kabotaj secara mendalam dan sebarang tanggapan salah dapat diperjelaskan. Apa yang penting, jangan hanya mendengar dakwaan pihak tertentu yang tidak berasas lagi mengarut!
“Seandainya pihak TV3 dan Astro anjur perdebatan secara bersama, saya amat mengharapkan agar Guan Eng tidak lagi mencipta helah untuk lari dan tidak berdebat dengan saya,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan yang mengatakan dirinya pilih kasih dengan hanya mahu berdebat di TV3, tetapi tak berani berdebat di saluran Astro Awani.
“Ini semua cerita dongeng. Sudah banyak kali saya sebut, saya anak jantan dan tak akan lari dari berdebat dengan Guan Eng.
“Seandainya perdebatan tidak dapat diadakan disebabkan Guan Eng tak berani nak berdebat, saya tetap akan mengadakan sesi penerangan mengenai dasar kabotaj kepada media.
“Kalau TV3 dan Astro Awani ‘on’, saya pasti ‘on’. Guan Eng jangan ‘off’,” katanya. – Malaysiapost

