Exco tengking kakitangan JPS mohon maaf

0
2

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Kemuning, V Ganabatirau hari ini memohon maaf secara terbuka susulan tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat dan menengking kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor itu mengakui kesilapan yang dilakukannya.

“Saya suarakan perkara ini bukanlah untuk menjadi hero tetapi disebabkan berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

“Saya sedar telah bertindak kasar. Oleh itu, saya memohon maaf dengan sepenuh hati kepada pihak yang terbabit,” katanya pada sidang media di pejabatnya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) dalam satu kenyataan mendesak Ganabatirau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam, terutama kakitangan JPS.

Presidennya, Adnan Mat terkilan dengan tindakan Adun Kota Kemuning itu yang disifatkan sebagai tidak profesional dalam tugas, apatah lagi video tular berkenaan dikatakan dimuat naik sendiri oleh beliau tanpa diketahui niat atau tujuan.

Ganabatirau menegaskan, beliau hanya menjalankan tugas selepas menerima aduan penduduk berhubung masalah banjir di beberapa lokasi di kawasan itu.

“Saya dapati kawasan perumahan dinaiki air hingga ke paras pinggang minggu lalu ekoran masalah perparitan.

“Apa yang menimbulkan kerisauan ialah hujan lebat diramal berlaku di negeri ini selama tiga hari bermula 28 Oktober ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here