BEKAS Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, walaupun mengumumkan keluar daripada Warisan pada 8 Oktober lalu.
Perkara itu disahkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya yang memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti semua dokumen dikemukakan selain mesyuarat yang diadakan 11 Oktober lalu dan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, tiga dokumen diterima daripada Dr Yusof dan dua dokumen daripada Warisan atau ejen parti berkenaan mengenai isu pengosongan kerusi DUN terbabit.
“Saya telah menerima tiga dokumen dari Adun Sindumin dan dua dokumen dari Parti Warisan Sabah atau ejennya.
“Oleh itu, berdasarkan perkara di atas, walaupun Datuk Dr Yusuf bukan lagi ahli parti politik, iaitu Warisan, kerusi DUN Sindumin tidak kosong ketika beliau mengisytiharkan untuk meninggalkan Parti Warisan pada 8 Oktober lalu.
“Oleh itu, Datuk Dr Yusuf masih lagi menjadi Adun bagi DUN N35 Sindumin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kadzim berkata, keputusan itu juga berpandukan kepada kes Adun Sebatik, Hassan A Gani yang hampir sama faktanya dengan isu berkenaan.
Dr Yusof mengumumkan keluar Warisan dan menjadi Adun Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 8 Oktober lalu kerana mahu membantu rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi penduduk Sindumin.
Berikutan tindakan itu, Warisan bertindak balas dengan mengemukakan kepada Speaker DUN surat perletakan jawatan Adun Sindumin itu dan aku janji bahawa beliau perlu meletak jawatan sebagai Adun Sindumin jika keluar parti. – Malaysiapost

