
KES positif Covid-19 yang direkodkan di seluruh dunia setakat hari ini berdasarkan statistik terkini Universiti Johns Hopkins adalah sekitar 243 juta kes, dengan angka kematian kira-kira 4.9 juta.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata secara kasar, negara di Asia Tenggara menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, Malaysia juga turut menunjukkan trend penurunan kes sejak minggu epidemiologi (ME) ke-34, namun Singapura dan Brunei menunjukkan tren peningkatan kes.
“Kedua-dua negara ini menunjukkan kes bagi setiap satu juta penduduk yang lebih tinggi berbanding Malaysia (180.91 kes) iaitu pada kadar 584.86 kes (Singapura) dan 499.88 kes (Brunei).
“Walaupun Malaysia menunjukkan penurunan kes, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) perlu terus diamalkan bagi mengelakkan peningkatan kes seperti negara-negara jiran,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Menurutnya, analisa situasi semasa berdasarkan indikator jangkitan Covid-19 pada ME ke-42 iaitu daripada 17 hingga 23 Oktober lalu menunjukkan penurunan kes 20.7 peratus iaitu daripada 52,321 kes (ME ke-41) kepada 41,508 kes (ME ke-42).
Beliau berkata, purata kes aktif juga menunjukkan penurunan sebanyak 21.0 peratus iaitu daripada 105,497 kes (ME ke-41) kepada kes 83,605 kes (ME ke-42).
“Kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak 16.4 peratus, manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan penurunan 16.5 peratus,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, bagi kes yang memerlukan bantuan pernafasan menunjukkan penurunan 14.4 peratus pada ME ke-41 berbanding ME ke-42 dan nilai kadar kebolehjangkitan (RT) kekal stabil sekitar nilai 0.88.
Menurutnya, sepanjang tempoh sama sebanyak 56 kluster dilaporkan pada ME ke-42 yang terdiri daripada kluster tempat kerja, komuniti, pusat pendidikan, kumpulan berisiko tinggi dan kluster keagamaan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ingin memaklumkan bahawa sehingga 23 Oktober lalu, sejumlah 25,161,659 individu telah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19.
“Sebanyak 94.5 peratus daripada populasi dewasa telah menerima suntikan vaksin lengkap, manakala sebanyak 72.4 peratus daripada keseluruhan penduduk telah lengkap vaksinasi,” katanya.
Sementara itu, menurutnya penggunaan katil di PKRC dan katil di wad biasa dan ICU menunjukkan trend penurunan sekitar empat hingga lapan peratus pada ME ke-42 berbanding ME ke-41. – Malaysiapost
