Dewan Rakyat lulus usul mengungkai Ordinan Darurat

0
2

USUL pengungkaian Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini, diluluskan selepas selesai dibahaskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengumumkan kelulusan pengungkaian itu selepas menyaksikan lebih suara Ahli Parlimen bersetuju terhadap usul berkenaan.

Secara keseluruhan seramai 20 Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan mengungkai Ordinan Darurat berkenaan.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan dengan tegasnya menolak tohmahan mendakwa Proklamasi Darurat berniat tidak baik dan bertujuan memastikan kelangsungan kerajaan.

Menurutnya, tanpa Proklamasi Darurat, kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk mengambil tindakan yang perlu bagi menangani wabak Covid-19, yang pada ketika itu memasuki tahap kritikal.

“Semua pihak perlu menghentikan tohmahan tidak berasas terhadap kerajaan yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan Proklamasi Darurat.

“Ini kerana kerajaan telah mengambil langkah yang difikirkan terbaik pada masa itu untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan berpandangan sekiranya pemasyhuran Proklamasi Darurat tidak dibuat, keadaan dijangka akan menjadi lebih teruk atau sebaliknya dengan izin ‘we cannot predict the situation’,” katanya pada sesi penggulungan pengungkaian ordinan itu.

Beliau sebelum itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang terbabit membahaskan usul berkenaan dan juga Menteri serta Timbalan Menteri yang menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan mengenai ordinan berkenaan.

“Segala cadangan dan pandangan Ahli-ahli Yang Berhormat amat dihargai dan akan diberi perhatian sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here