‘Patut pergi Singapura 5 hari sahaja, Najib bukan bidan’

0
2

[PARLIMEN] AHLI Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan layanan istimewa kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak setelah dibenarkan ke Singapura selama lebih sebulan.

Menurutnya, alasan Ahli Parlimen Pekan itu ke Singapura untuk melawat anaknya yang mahu melahirkan tidak masuk akal kerana Najib bukan ‘bidan’.

“Dari 25 Oktober hingga 6 Disember. Alasan untuk melawat anaknya yang mahu bersalin. Dia bukan bidan nak pergi sampai sebulan tuan Speaker.

“Kalau nak lawat Singapura bagi lima hari cukup, ini sebulan. Adakah Yang Berhormat Pekan ini bidan bagi menolong anaknya untuk melahirkan anak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Hanipa berkata, sepatutnya Najib yang dikatakan individu yang bertanggungjawab dalam masalah ekonomi negara itu tidak boleh menerima layanan istimewa.

“Saya hairan orang yang merosak negara, merosakkan ekonomi negara diberi layanan begitu istimewa oleh kerajaan sekarang. Saya harap orang ini tuan speaker, tempat dia bukan di Singapura tapi di penjara,” katanya.

Pada 18 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan semula pasportnya untuk kegunaan sementara.

Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu ke Singapura melawat anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan menangguhkan perjalanan ke Singapura bagi membantu jentera Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November depan.

Ia disebabkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika itu akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi sakit belakangnya.

Dalam afidavit sokongan difailkan bersama-sama notis usul terpinda, Najib berkata, beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajarnya ketika ketiadaan Ahmad Zahid.

Sehubungan itu, beliau memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here