DAKWAAN Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew bahawa larangan penganjuran majlis sosial serta aktiviti kempen berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak adil dan hanya menguntungkan blok kerajaan, tidak berasas sama sekali.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ini kerana larangan itu terpakai kepada semua parti bertanding, sama ada blok kerajaan mahupun pembangkang.
“Jika pihak di sebelah sana (pembangkang) melihat prosedur operasi standard (SOP) PRN ini tidak adil, bagi Umno juga tidak adil, tetapi SOP ini untuk kesejahteraan rakyat dan keselamatan bersama.
“Kalau nak kata kerajaan kawal media, mereka (pembangkang) ketika menjadi kerajaan juga melakukan perkara sama,” katanya seperti dilaporkan portal Melaka Hari Ini.
Sehubungan itu, Ab Rauf berkata apa juga SOP ditetapkan, semua pihak perlu berlapang dada dan mematuhi arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Khairy menegaskan ia bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes dengan mendadak.
Beliau berkata larangan itu akan mula berkuatkuasa pada 25 hingga 27 November 2021. – Malaysiapost

