[PARLIMEN] SEORANG pemimpin utama pembangkang hari ini menyifatkan Malaysia telah menjadi negara yang pelik, susulan larangan penganjuran majlis sosial serta aktiviti kempen berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang juga Pengerusi Amanah berkata undang-undang negara berubah mengikut nafsu pemerintah termasuk dalam soal kempen PRN Melaka yang dijadual berlangsung pada 20 November ini.
“Perkara-perkara pelik berlaku di Malaysia mutakhir ini, peliknya Ahli Parlimen dulu tak boleh masuk Parlimen, peliknya masa durarat jangkitan (Covid-19) paling tinggi hingga 24,000 kes, kematian beratus sehari.
“Sekarang nak PRN lagi pelik, Melaka Fasa 4 (Pelan Pemulihan Negara), (tetapi) restoran penuh, kompleks beli-belah penuh, kenduri kahwin dan kuliah boleh buat, ceramah, kempen rumah ke rumah tak boleh.
“Malaysia ini menjadi negara yang pelik dalam dunia, undang-undang berubah ikut nafsu pemerintah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bukan itu sahaja, Mohamad juga berkata undang-undang berkaitan vaksin juga pelik apabila beliau mendakwa ada menteri tidak divaksin kerana menyatakan sudah ada imun dalam badan terhadap jangkitan Covid-19.
“Kita tak faham… ada menteri tak vaksin kerana dia kata sudah ada imun. Kalau begitu lebih dua juta yang dijangkiti tak perlu vaksin.
“Jadi dasar vaksin pun bercelaru, dasar MCO (PKP) bercelaru… Malaysia negara kelam kabut sekarang,” katanya.
Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Khairy menegaskan ia bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes dengan mendadak.
Beliau berkata larangan itu akan mula berkuatkuasa pada 25 hingga 27 November 2021. – Malaysiapost

