KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengambil tindakan ke atas peniaga yang disyaki menjual beg jenis silang menggunakan cap dagangan tidak sah menerusi platform E-dagang.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata ia susulan serbuan ke atas sebuah premis dijadikan stor penyimpanan dan pusat pengurusan jualan barangan secara atas talian, Khamis lalu.
Menurutnya, pemeriksaan susulan aduan dan pengesahan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berhubung perlakuan penyalahgunaan cap dagang tanpa kebenaran pemilik sah.

“Berdasarkan hasil pengesahan awal, disyaki barangan tersebut menggunakan cap dagang tanpa kebenaran pemilik. Pengesahan ini dibuat oleh wakil cap dagang yang hadir bersama semasa serbuan dijalankan.
“Seorang orang yang disyaki (OYDS) ditahan dan rakaman percakapan diambil bagi tujuan siasatan. OYDS merupakan pemilik barangan disyaki menggunakan cap dagang tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Zikril Azan berkata, dalam pemeriksaan itu sejumlah 3,110 beg silang dirampas dan beberapa dokumen urus niaga lain turut disita bagi tujuan siasatan.

Tambah beliau, anggaran nilai rampasan menerusi pemeriksaan tersebut adalah RM31,100.
“Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019, iaitu mempunyai dalam kawalannya bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan cap dagangan berdaftar,” katanya. – Malaysiapost

