Kematian anggota tentera, keterangan dua pegawai, sembilan anggota diambil

0
3

POLIS setakat ini merakam keterangan dua pegawai dan sembilan anggota tentera bagi membantu siasatan berhubung kes kematian Prebet Abdul Aziz Aznam.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain ketika mengesahkan perkara itu tidak menolak kemungkinan polis Johor akan memanggil anggota lain untuk melengkapkan siasatan.

“Berdasarkan maklumat dan rekod setakat ini, polis sudah merekodkan percakapan dua pegawai dan sembilan anggota lain-lain pangkat.

“Polis akan panggil dan rekod percakapan anggota lain kalau ada keperluan. Sekarang ini beri masa dan ruang kepada polis mejalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Terdahulu, seramai 10 saksi dilaporkan sudah diambil keterangan pada Sabtu lalu berhubung kematian anggota tentera itu yang jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman sebuah kem tentera di Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu kenyataan berkata, saksi terbabit ialah dua pegawai, tujuh anggota pangkat rendah serta seorang orang awam.

Pada 29 Ogos lalu, Abdul Aziz dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman berkenaan.

Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, namun meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang, 6 September lalu. – Malaysiapost