Sajjad dakwa JAIS cuba menganiaya dirinya, cuba beri hukuman berat

0
2

USAHAWAN kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajjad, mendakwa punca utama dia melarikan diri kerana tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang seperti ingin menganiaya dirinya.

Menurutnya, dia merasakan pihak berkuasa itu ingin menghukumnya dengan hukuman berat walaupun kesalahan dilakukan bukanlah kesalahan jenayah berat.

Menceritakan kronologi bagaimana dia nekad melarikan diri ke Thailand hinggalah kini mendapatkan perlindungan di Australia, Sajjad memaklumkan ia bermula ketika dipanggil ke JAIS untuk beri keterangan berhubung dakwaan berpakaian seperti wanita.

“JAIS panggil hanya untuk memberi keterangan, tetapi bila sampai ada kira-kira 15 pegawai yang sudah bersedia untuk menahan termasuk menggunakan gari.

“Selepas ditahan Sajjad dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Kuala Kubu Bharu untuk ditahan selama sehari,” katanya dalam program What’s Going On Malaysia? siaran langsung di Facebook Pelawak Harith Iskander, malam ini.

Katanya, ketika proses penahanan, pegawai JAIS mengambil kesempatan terhadapnya dengan merabanya dan di pusat tahanan pula dia ditempatkan bersama tahanan lelaki sedangkan dia sudah ‘transform’ sepenuhnya.

“Bermula daripada itu saya trauma hingga rasa ingin membunuh diri dan mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Shah Alam dan sebutan kes saya ditetapkan pada 23 Februari 2021 iaitu pada ulang tahun hari lahir.

“Sebaik sampai di mahkamah saya melihat ramai polis dan pegawai JAIS membuatkan saya panik dan kebetulan ubat anti kemurungan saya habis membuatkan saya terus ke hospital ambil ubat,” katanya.

Menurutnya, dia mendapat sijil cuti sakit dan kemudian memberinya kepada peguam untuk diserahkan kepada pihak mahkamah.

“Malangnya sijil cuti sakit itu tidak diterima oleh mahkamah dan saya tidak tahu apa sebabnya sebelum waran tangkap terhadap saya dikeluarkan.

“Ketika itu saya bayangkan akan dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM5,000. Membayangkan akan dipenjarakan bersama banduan lelaki saya terus trauma dan nekad melarikan diri,” katanya.

Sajjad berkata, dia kemudian nekad meninggalkan anak, keluarga, perniagaan, empayar yang dibina selama ini untuk berhijrah ke Sydney, Australia.

Sementara itu, bercakap mengenai kemungkinan diisytihar muflis, dia memaklumkan sudah cuba membayar tuntutan daripada stokis berkenaan yang juga sepupunya secara ansuran tetapi pihak berkenaan menolaknya.

“Saya diminta membayar RM240,000 secara sekaligus yang kemudian saya putuskan biar mereka teruskan jika itu memuaskan hati mereka,” katanya.

Sajjad berharap apa yang disampaikannya dapat memberi penjelasan kerana selama ini tidak dapat peluang menjelaskan keadaan sebenarnya.

“Sajjad rasa bila sampai sini Sajjad rasa boleh jadi diri Sajjad sendiri, pihak berkuasa Australia juga selalu hubungi tanya keadaan Sajjad walaupun dalam kuarantin dan rasa lebih dihargai.

“Bukan nak kata kat Malaysia tidak dihargai tetapi selalu dijadikan bahan kepentingan politik dan agama serta dijadikan kambing hitam.

“Apa pun Sajjad cuba bangkit semula dari zero menjadi hero,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here