
PARTI Kuasa Rakyat menggesa mereka yang dinamakan dalam laporan Kertas Pandora supaya mengambil tanggungjawab moral membersihkan nama mereka sekiranya beranggapan bahawa laporan tersebut salah, fitnah dan berniat jahat.
Setiausaha Agungnya Helmi Ibrahim berkata isu mengenai Kertas Pandora itu telah menjadi perbualan rakyat selain impaknya yang besar kepada kepentingan negara
Menurutnya, walaupun material yang dinyatakan dalam laporan itu adalah ketika mereka tidak terlibat dalam kerajaan mahupun politik namun penjelasan mereka amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.
“Pihak berkuasa khususnya Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) harus menjelaskan kepada rakyat dari perspektif perundangan tentang legaliti mekanisme dan transaksi sedemikian.
“Pencerahan dari pihak berkuasa amat penting agar rakyat di peringkat akar umbi dapat informasi bahawa apakah dibenarkan atau suatu kesalahan sekiranya mereka membuka akaun bank di institusi kewangan luar pesisir?
“Bagaimana pula dengan aspek percukaian? soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa juga harus menjalankan siasatan di atas dakwaan berlakunya salah laku, ketirisan, aliran modal keluar negara, rasuah, lari dari cukai, pengubahan wang haram dan lain-lain yang dilaporkan dalam Kertas Pandora.
“Rakyat hanya mempunyai undi, itupun hanya lima tahun sekali. Kerajaan bagaimanapun mempunyai autoriti, legitimasi, sumber dan tanggungjawab sepanjang masa dalam semua perkara.
“Justeru rakyat menuntut Kerajaan agar laksanakanlah tanggungjawab moral, perundangan dan pentadbiran dalam memberikan jawapan kepada rakyat yang jelas resah, terkesan dan tercabar dengan laporan Kertas Pandora ini.
“Parti Kuasa Rakyat berjuang ke arah ekosistem ekonomi yang halal dan terang serta menolak unsur ekonomi haram dan gelap,” katanya. – Malaysiapost
