21 kerusi DUN Melaka mudah dimenangi jika Umno, PAS, Bersatu bekerjasama

0
2

PERIKATAN Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) akan menang mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata kemenangan itu boleh dicapai dengan formula perundingan kerusi PRN Melaka yang disebutkan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulamak berkata, formula itu adalah kerusi penyandang kekal pada penyandang dan bermakna Umno atau Barisan Nasional (BN) kekal bertanding 14 kerusi.

“Dengan dokongan undi PAS dan Bersatu, 14 kerusi ini sangat selamat untuk dimenangi oleh Umno.

“Bersatu pula kekal bertanding dua kerusi yang di sandang. Pun sama, kemenangan adalah sangat dijangka dengan dokongan undi Umno/BN dan PAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, baki lagi 12 kerusi perlu diagihkan antara tiga parti dan engan dokongan tiga parti utama, lima kerusi sangat selamat untuk dimenangi bersama atas nama muafakat.

“Dengan itu PN dan MN gagah untuk memenangi PRN Melaka dengan 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN Melaka. Pakatan Harapan (PH) boleh tutup buku.

“Rasanya tidak sukar untuk berunding jika diletakkan atas satu matlamat iaitu kemenangan bagi umat Islam dan bagi menghalang kemenangan PH,” katanya.

Beliau menyeru agar semua pihak berunding dan tidak pertaruhkan kemenangan PRN Melaka kepada PH disebabkan perpecahan.

“Kita menjadi kerajaan hari ini disebabkan oleh perpaduan antara kita. Perpaduan adalah penyelamat, Perpecahan adalah azab dan sengsara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here