Selesai dulu masalah parkir di Putrajaya, jangan terus saman – CUEPACS

0
2
Presiden CUEPECS, Adnan Mat. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

CUEPACS berharap pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengambil tindakan drastik mengeluarkan saman atau menunda kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di Kompleks E Putrajaya.

Ia susulan insiden sebuah lori melanggar lebih 10 kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di lokasi tersebut, baru-baru ini.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata pihaknya difahamkan pihak berkuasa akan menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan insiden dan mungkin diperluaskan ke kawasan lain di Putrajaya.

Katanya, walaupun lokasi kejadian diwarta sebagai kawasan tidak dibenarkan untuk parkir kenderaan, ia seharusnya membuka mata semua pihak agar perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau berkata, CUEPACS percaya orang awam serta kakitangan kerajaan yang meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar kawasan pentadbiran kerajaan di Putrajaya bukan sengaja berbuat demikian jika mempunyai alternatif lain.

“CUEPACS tidak berniat untuk mencampuri urusan pihak berkuasa namun menyarankan pendekatan lebih mesra seperti memberi peringatan atau nasihat terlebih dahulu sebelum saman atau apa jua langkah perundangan lain diambil.

“Berikan tempoh masa mencukupi supaya kakitangan kerajaan di situ serta pelawat faham mengenai larangan meletakkan kenderaan di bahu jalan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adnan berkata isu kekurangan tempat letak kereta untuk orang awam di Putrajaya bukan perkara baharu kerana ia telah dibangkitkan sejak perpindahan kumpulan pertama penjawat awam ke pusat pentadbiran tersebut pada tahun 1999.

Katanya, walaupun pihak berkuasa sudah memperbanyakkan kawasan tempat letak kereta, pertambahan jumlah kakitangan kerajaan di Putrajaya serta kehadiran orang awam lebih ramai menjadikan kawasan yang sudah padat menjadi lebih padat.

Justeru katanya, pendekatan atau penyelesaian bersifat menyeluruh perlu diberi perhatian supaya masalah kekurangan parkir tidak berlarutan.

“Tambahan pula kawasan insiden tersebut iaitu Kompleks E menempatkan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pendidikan yang besar dan tentu parkir sedia ada ketika ini tidak mencukupi untuk menampung kakitangan serta pelawat datang.

“Kompleks E bukanlah satu-satunya kawasan yang sesak di Putrajaya kerana hampir kesemua kompleks kerajaan sesak dan mempunyai masalah dengan parkir kenderaan,” katanya.

Beliau berkata terdapat pandangan agar kakitangan kerajaan serta pelawat yang berurusan di Putrajaya menggunakan kemudahan Park & Ride disediakan di Putrajaya Sentral bagi mengelak masalah kekurangan parkir di kompleks kerajaan.

“CUEPACS melihat ia suatu inisiatif yang bagus tetapi berharap kerajaan mengkaji mengapa ia tidak menjadi pilihan penjawat awam serta pengunjung yang hadir dan bekerja di Putrajaya.

“CUEPACS berpandangan kemudahan itu perlu diperkasakan supaya mampu menarik pengguna menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Jika mesra pengguna, pasti ia akan menyelesaikan sedikit masalah kekurangan parkir di Putrajaya memandangkan kemudahan Park & Ride yang mampu memuatkan lebih 2,000 kenderaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here