PENGARAH dan penerbit terkenal, Mamat Khalid, 58, sempat membuat persembahan di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River, malam tadi.
Menurut anaknya, Mohd Khalid Amen Mohamad, 25, Mamat yang bermain ‘keyboard’ sedang memainkan lagu ‘Apokalips’ di hadapan ahli keluarganya.
“Kami terus terpa ke arahnya apabila tiba-tiba papa terdiam. Dia tidak mengadu sakit apa-apa pun ketika itu.
“Kami hubungi ambulans dan akhirnya papa menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital. Papa memang ada sakit jantung,” katanya memetik Sinar Harian.
Mohd Khalid Amen juga memberitahu sepatutnya Mamat akan memulakan penggambaran untuk telemovie bertajuk ‘Kampung Pisang Berbuah Dua Kali’ minggu hadapan.
Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Allahyarham adalah adik kepada kartunis terkenal negara, Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat.
Allahyarham meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh, Ipoh. – Malaysiapost

