PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, 58, yang meninggal dunia kira-kira jam 12.30 malam tadi.
Beliau berkata, industri seni tanah air hari ini kehilangan sebutir bintang selepas pengarah dan penerbit filem itu menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung.
“Allahyarham yang merupakan adik kepada kartunis terkenal negara iaitu Datuk Lat, antara penerbit serta pengarah tersohor tanahair dan disegani dalam dunia perfileman negara.
“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para penggiat seni tanahair di atas kehilangan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya hari ini.
Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamd Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung, di dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, tengah malam tadi.
Dikatakan beliau rebah ketika berada di restoran miliknya di Sarang Art Hub, Slim River sebelum dikejarkan ke hospital.
Allahyarham sebelum ini pernah beberapa kali menerima rawatan di hospital akibat masalah paru-paru dan jantung.
Antara karya nukilannya yang mendapat tempat di hati penonton seperti Man Laksa, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Zombi Kampung Pisang, Estet dan 16 Puasa. – Malaysiapost

