BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam menyampaikan sumbangan kit makanan dan keperluan lain kepada mangsa banjir dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata bantuan tersebut dihantar menggunakan lori treler untuk meringankan beban kira-kira 700 keluarga yang terkesan akibat banjir, baru-baru ini.
Selain makanan, antara sumbangan yang diberikan termasuk tuala, selimut dan peralatan pembersihan kepada mangsa banjir di Kampung Belimbing Dalam.
“Terharu saya malam tadi apabila Datuk Seri Najib turun padang bagi menyampaikan sumbangan kit makanan dan keperluan lain kepada mangsa banjir di Kampung Belimbing Dalam, dalam kawasan DUN Durian Tunggal.
“Bukan kaleng-kaleng, beliau hantar bantuan siap guna lori treler, demi membantu kira-kira 700 keluarga yang terkesan dalam kejadian banjir, baru-baru ini.
“Semoga usaha dan bantuan dihulurkan ini dapat meringankan sedikit beban mangsa banjir yang cukup terkesan. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Pada 20 Oktober lalu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Melaka selepas sekurang-kurangnya 36 kampung dan taman perumahan dilanda banjir kilat akibat hujan lebat lebih empat jam. – Malaysiapost

