PENGARAH filem terkenal Mamat Khalid yang meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi adalah wira yang turut memperjuangkan agenda perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique, berkata menerusi karya filem yang menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia, Mamat telah meninggalkan legasi indah dengan menghantar pelbagai mesej perpaduan kaum dalam karya-karya besarnya.
Menurutnya, beliau menganggap pengarah itu sebagai insan seni yang hebat apabila turut membantu memberikan sumbangan tidak ternilai kepada negara melalui karya seninya.
“Beliau adalah pengkarya, ahli seni yang patut dicontohi semua. Karya seni adalah medium yang dapat dijadikan platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini.
“Sebagaimana Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggalkan legasi seni sehingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, saya melihat Mamat Khalid juga begitu.
“Ada nilai kemasyarakatan, nilai perpaduan kaum, nilai kebersamaan melalui karya-karya Mamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Halimah berkata, keindahan sebuah karya seorang pengarah filem adalah apabila ia menjadi tontonan masyarakat pelbagai kaum, selain menghantar mesej-mesej positif yang diterima sehingga melangkaui zamannya.
“Mamat Khalid bukan sahaja menghasilkan karya seni bersifat humor, tetapi juga mengajak seluruh masyarakat supaya saling hormat menghormati, berkasih sayang, tolong menolong dan bertoleransi sesama masyarakat.
“Di situ ‘mahalnya’ sebuah karya seni apabila ia turut bercerita dengan nilai yang positif, sehingga dikenang dalam sejarah,” katanya.
Dalam masa sama, Halimah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mamat atas kembalinya pengarah filem tersebut ke rahmatullah.
“Saya berharap seluruh keluarga Allahyarham diberikan ketabahan atas kehilangan ini. Marilah kita seluruh umat Islam menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham.
“Perginya Mamat Khalid juga adalah kehilangan besar kepada negara, dan saya percaya karya-karya beliau akan terus hidup dan segar di mata masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Allahyarham Mamat, 58, meninggal dunia lewat malam tadi, di Hospital Slim River, Perak ekoran serangan jantung.
Allahyarham yang juga adik kepada kartunis tersohor negara, Datuk Lat meninggalkan seorang balu, Hasmah Hassan dan lima anak. – Malaysiapost

