DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan menyarankan agar penambahan pembinaan kolam takungan dilakukan bagi mengelakkan berlaku kejadian banjir kilat berulang di ibu kota.
Beliau menjelaskan, inisiatif utama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangani masalah itu ialah dengan memperbesar, mendalam dan menambahkan pembinaan kolam takungan supaya air dapat mengalir masuk.
Dengan itu, katanya, mana-mana kawasan rendah tidak akan dinaiki air apabila hujan lebat.
“Pertama, kita bercadang di mana pembinaan kolam takungan ini perlu diperbesarkan dan diperdalamkan lagi. Kalau sebelah Gombak, ada kolam takungan ini, tapi air tidak mengalir ke situ, sebab itu air deras.
“Kedua, kita berusaha dengan cara mengawal dari segi arahan pembangunan dan kita perbanyakkan lagi usaha dengan pihak institusi lain supaya kolam takungan ini menjadi lebih baik.
“Kita juga akan tengok mana-mana kolam, lombong atau tasik di sekitar Kuala Lumpur ini, mungkin boleh didalamkan agar air dapat bertakung di situ dulu,” katanya.
Oleh itu, kata beliau, setiap pembangunan dan perumahan akan dipastikan kontraktornya membina kolam takungan bagi mengurangkan risiko banjir.
Noor Hisham berkata, perbelanjaan besar akan digunakan bagi melaksanakan inisiatif itu demi kepentingan orang ramai.
Katanya lagi, banjir kilat yang berlaku baru-baru ini adalah dalam sejarah 63 tahun negara merdek.
Beliau turut menyentuh laporan DBKL berkaitan punca banjir berlaku.
“Longkang tidak diperbaiki dan ini lebih kepada hari itu (bermulanya) hujan lebat serta aktiviti pembangunan yang pesat di sekitar ibu kota.
“Di samping itu juga, kita mengharapkan orang ramai tidak membuang sampah dalam longkang dan tempat takungan.
“Jadi, jika kita tidak jaga Kuala Lumpur ini, siapa lagi nak jaga? Kitalah sebagai warga Kuala Lumpur,” ujarnya.
Dalam kejadian banjir kilat Khamis lalu, beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur seperti Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang di Kampung Bharu, Jalan Gurney Kiri, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5, Taman Ayer Panas dan Jalan San Ah Wing, Kampung Semarak dinaiki air setinggi 1.5 hingga 2 meter akibat hujan lebat pada petang itu. – Malaysiapost

