Najib terkejut Guan Eng sokong pulihkan projek HSR

0
2

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan menyokong agar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dihidupkan semula.

Menurutnya, pemimpin DAP berkenaanlah antara yang bersetuju ketika menjadi Menteri Kewangan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang membatalkan projek itu kerana kononnya negara sudah bankrap dengan hutang RM1 trilion.

Najib berkata, Guan Eng hari ini dilihat menyokong saranannya untuk pulihkan HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura dan bukan gantikannya dengan HSR Kuala Lumpur ke Iskandar Puteri seperti dicadangkan Perikatan Nasional (PN) dahulu.

“Dia (Guan Eng) kata projek asal HSR KL-Singapura ini akan banyak memanfaatkan negara serta merancakkan pembangunan negeri-negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Dia kata pembatalan projek asal ini akan memberi impak negatif paling besar pada Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Terima kasih kerana sokong, tapi Guan Eng juga yang pernah bersetuju dengan Tun Mahathir untuk batalkan projek itu kononnya negara sudah bankrap bawah Najib dengan hutang RM1 trilion,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menangguhkan projek berkenaan dan membayar Singapura sebanyak RM50 juta selama bertahun-tahun.

“Ianya kemudian dibatalkan oleh kerajaan PN pada akhir tahun lalu dengan membayar pampasan RM320 juta pada Singapura.

“Syukur Guan Eng dah taubat atau kita tak lagi bankrap kot,” perlinya.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran, Najib mengatakan kemungkinan orang Singapura akan fikir Malaysia sudah gila kerana tindakan yang berubah-ubah berhubung projek berkenaan.

“Zaman PH (2019): Bayar pampasan 15 juta dolar Singapura (hampir RM50 juta) kepada Singapura untuk tangguh HSR dua tahun kononnya Malaysia sudah bankrap. Akhirnya DAP suruh sambung semula projek.

“Zaman PN (2021): Bayar pampasan lebih 20 juta dolar Singapura (lebih RM320 juta) kepada kerajaan Singapura untuk batal HSR dua tahun kononnya Malaysia sudah bankrap dan zaman pandemik tak sesuai buat projek ini.

“Akhirnya PN suruh sambung semula projek tersebut dengan menggantikannya dengan HSR KL-Johor Bahru dengan kos yang hampir sama. Nanti orang Singapura fikir negara kita gila,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here