Guan Eng persoal Projek HSR tak dihidupkan semula

0
1

PAKATAN Harapan (PH) mempersoalkan mengenai keputusan mengejut kerajaan untuk menghidupkan semula projek Saluran Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) yang bernilai RM9.4 bilion.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata sebanyak 88 peratus atau RM8.3 billion daripada nilai pembinaan projek itu telah dibayar walaupun hanya 13 peratus kerja tanpa audit telah dilakukan.

Menurutnya, persoalan juga akan dibangkitkan mengapa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak dihidupkan semula.

“HSR sepatutnya diteruskan untuk memberi manfaat ekonomi kepada negeri-negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Lembah Klang daripada hubungan yang lebih erat dengan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mendakwa, ramai yang mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan menamatkan projek HSR dengan hanya berhenti di Johor Bahru dan bukannya Singapura.

Menurutnya, rakyat juga mempersoalkan tindakan kerajaan membayar kerugian RM320 juta kos pampasan walaupun sebelum ini telah berjanji secara terbuka untuk meneruskan HSR.

“PH tidak mempersoalkan keperluan untuk projek HSR tetapi mahu menyemak semula harga yang terlalu tinggi dan struktur kos yang dipersetujui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Projek HSR tidak berdaya maju daripada segi kewangan sekiranya landasan kereta apinya tidak melalui Singapura tetapi berhenti di Johor Bahru,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here