FELCRA Wilayah Sarawak terus perkasa program Ameniti Sosial

0
2

FELCRA membelanjakan lebih RM1 juta bagi memperkasakan program Ameniti Sosial termasuk menaik taraf infrastruktur di kawasan perkampungan agensi itu terutamanya di luar bandar Sarawak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dana itu diperuntukkan dibawah Program Perlengkapan Kampung Ameniti Sosial, Program Perlengkapan Kampung-Premis Perniagaan dan Sumbangan Prihatin FELCRA 2021.

“Selain itu sebanyak RM30,500 dana diperuntukkan bagi membaiki bengkel tenunan songket kepada usahawan kampung peserta FELCRA dan juga Sumbangan Prihatin FELCRA kepada Kampung Empila berjumlah RM8,500.

“Sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih Dewan Sri Villa di Kampung Empila, RM48,800 dana kepada enam usahawan bimbingan FELCRA.” katanya dalam sidang media selepas majlis ramah mesra bersama peserta FELCRA di Dewan Masyarakat Kampung Empila, di Kota Samarahan, hari ini.

Menurutnya, selain itu RM775,800 dibelanjakan bagi menaik taraf dan membaik pulih bangunan awam di kawasan penempatan peserta FELCRA yang melibatkan 10 kampung.

Mahdzir menegaskan, FELCRA sentiasa komited dalam usaha menyelesaikan isu berhubung kadar dividen peserta terutama melibatkan penduduk di luar bandar.

“Insya-Allah tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang mungkin keadaan akan beransur pulih dan menjadi lebih baik selain harga kelapa sawit juga dapat berada pada tahap yang lebih tinggi.

“Disebabkan itu, mungkin dividen yang diberikan nanti akan lebih memuaskan kepada peserta-peserta,” katanya.

Beliau turut yakin dengan harga kelapa sawit yang tinggi dan pemotongan hutang peserta yang rendah, dapat memberikan pulangan semula dalam bentuk dividen yang lebih menguntungkan.

Katanya, dividen yang diberikan ketika ini secara purata antara RM500 hingga RM7,000.

“Saya yakin dengan harga kelapa sawit yang tinggi dan pemotongan kepada peserta tidak terlalu tinggi, ia boleh diberikan semula dalam bentuk dividen kepada peserta.

“Sekiranya peserta mempunyai hutang dengan FELCRA dan menanam kelapa sawit dalam tempoh kira-kira lima tahun, jumlah itu perlu dibayar semula,” katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh pendapatan seorang peserta berjumlah RM5,000 dan dipotong RM2,000, ini bermakna mereka hanya ada RM3,000, namun jika hanya RM500 dipotong, maka kiraan dividen mereka adalah tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here