KERAJAAN Selangor perlu memberi fokus terhadap perkara berkaitan pindaan undi 18 dalam Belanjawan Selangor 2022 tidak lama lagi, kata EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman
Beliau berkata, Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor berharap agar satu platform dapat disediakan bagi memastikan persatuan belia di Selangor dapat bergantung kepada kerajaan negeri.
Katanya, Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor telah dirangka sebelum ini bagi membolehkan semua persatuan belia di Selangor dapat ditadbir di bawah satu pergerakan.
“Harapan saya dalam Belanjawan Selangor 2022 ini, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dapat beri sokongan kepada golongan belia di negeri ini bagi memastikan mereka tidak tertinggal dalam pembangunan negeri,” katanya selepas Siri Pertama Jelajah Selangor Bekerja 2022 di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, hari ini.
Mengulas mengenai pembangunan sukan di Selangor, Mohd Khairuddin berkata, peruntukan yang diperoleh buat masa ini sudah memadai bagi menggerakkan program-program dan perancangan yang dijadualkan.
Tambahnya, jawatankuasanya akan terus memberi fokus dan menggunakan peruntukan sedia ada bagi membuat penambahbaikan dari masa ke masa. – Malaysiapost

