Tiga tahun tragedi: Maaf ini tak sempurna, jika mereka hanya berdiam

0
3


Oleh Muhammad Mustakim Ramli

MAAF itu maknanya terlalu mendalam, kata Nasrun Mat Yusuf, bapa kepada Allahyarham Muhammad Nizamuddin.

Nasrun, 49, berkata beliau tidak berdendam dan sudah memaafkan pelaku yang menyebabkan anaknya terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau sedikit terkilan kerana sehingga kini pelaku atau keluarganya tidak pernah datang berjumpa untuk memohon maaf kepada setiap mangsa yang terkorban.

Nasrun Mat Yusuf

“Macam mana maaf pun, anak kita tak kan kembali… tetapi dia (pelaku) tidak (datang) minta maaf pun, kita yang maafkan dia.

“Kita boleh maafkan, tetapi maaf ini tidak sempurna… hanya sebelah pihak, pihak sebelah lagi tidak datang jumpa. Mereka hanya diam.

“Ini berkaitan hati. Orang boleh bagi pandangan tetapi kami yang melaluinya. Ada yang anak dua, tiga (terkorban), saya seorang sahaja,” katanya ketika ditemui Malaysia Post, baru-baru ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan keputusan mahkamah, Nasrun bersyukur kerana keadilan ditegakkan.

“Kita berasa bersyukur, jika tidak ia seperti tergantung, kita tidak nampak siapa yang bersalah,” katanya yang hanya mengikuti perkembangan kes itu melalui media.

Sementara itu, Nasrun berkata, kenangan terakhirnya bersama anak bongsu dari tiga adik beradik itu adalah mengenai lukisan.

Katanya, lukisan pokok besar berlatarbelakangkan pemandangan indah adalah topik perbualan terakhir sebelum anaknya itu meninggal dunia.

“Saya ingat saya katakan kepada arwah yang saya tidak tahu bila lukisan itu akan siap.

“Arwah hanya pandang lukisan itu terlalu lama, nampaknya memang tidak siap, arwah pun sudah tiada,” katanya.

Pada 17 Ogos lalu, seorang remaja lelaki dijatuhi hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah membunuh 23 mangsa dalam kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang kini berusia 19 tahun selepas mendapati pembelaannya gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pembelaan.

Remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama. – Malaysiapost