MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada sebarang keperluan untuk melaksanakan perintah kuarantin wajib ke atas individu yang pulang dari Sabah.
Menurutnya, jangkitan Covid-19 di negeri itu masih dalam keadaan terkawal walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) secara Pentadbiran dikuatkuasakan di Tawau dan Lahad Datu.
Beliau berkata, peraturan kuarantin wajib selama 14 hari hanya perlu dilaksanakan jika seluruh Sabah diisytihar sebagai Zon Merah.
“Kalau kita mahu lakukan kuarantin wajib, seluruh negeri perlu berada dalam Zon Merah, sedangkan keadaan itu tidak berlaku di Sabah.
“Zon Merah hanya diisytihar di beberapa kawasan tertutup di Sabah iaitu kawasan penjara dan lokap polis,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Beliau menjawab persoalan kemungkinan pelaksanaan perintah kuarantin wajib ke atas individu yang pulang dari Sabah, selepas menerima Kad Akujanji anjuran Perbadanan Nasional (PNS) di Kuala Lumpur.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah diberi mandat untuk meneliti perkembangan Covid-19 di Sabah dan sebarang keputusan mengenainya akan dibuat berdasarkan keperluan semasa.
“Kes di Tawau dan Lahad Datu membabitkan penjara, jadi maknanya berlaku dalam kurungan.
“Di Kuala Lumpur sebelum ini pun ada kes membabitkan empat Depoh Tahanan Imigresen (DTI) serentak, tetapi ia tidak merebak ke luar,” katanya.
Tambahnya, setakat ini KKM masih mampu mengawal penularan Covid-19 di Sabah dan keputusan lanjut akan dibuat jika keadaan bertukar sebaliknya.
Katanya, kementerian akan mengkaji perkembangan semasa mengikut jumlah kes dan jika berlaku peningkatan secara tiba-tiba, keputusan akan dibuat dengan mengambil kira semua faktor. – Malaysiapost

