Masjid Kampung Laut berusia 400 tahun dipindah ke lokasi asal

0
3

MASJID Kampung Laut yang juga masjid tertua di Malaysia berusia 400 tahun yang kini terletak di Nilam Puri akan dipindahkan ke tempat asal esok.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, masjid itu akan dipindahka ke Kampung Laut, Tumpat, memandangkan ia warisan yang sangat berharga dan menjadi rujukan.

Pemindahan masjid berkenaan ke tapak asal juga bagi membolehkan ia direkodkan sebagai warisan oleh Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Masjid Kampung Laut dibina pada abad ke-18 dan pernah terselamat daripada banjir besar pada tahun 1926 dan 1966, sebelum ia dipindahkan ke Nilam Puri pada tahun 70-an bagi menyelamatkannya daripada ditenggelami banjir.

“Kos pembinaan masjid berkenaan (selepas dipindahkan) dijangka sekitar RM2 juta” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Bagi tujuan itu, pihak kontraktor akan meleraikan struktur asal serta komponen setiap ruang di dalam masjid berkenaan.

Ia perlu dibuat dengan teliti supaya tiada ketinggalan atau tersilap pasang.

Keunikan Majis Kampung Laut kerana diperbuat daripada kayu cengal dan dibina tanpa menggunakan sepucuk paku.

“Masjid ini dijangka siap dicantum sepenuhnya Januari 2022 dan ia adalah usaha untuk mengekalkan nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid serta mencipta mercu tanda warisan di Kelantan,” kata Ahmad lagi.

Pemindahan itu akan dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri, ECERDC, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara Malaysia, Muzium Kelantan dengan jarak sejauh 22 kilometer (km) dari Nilam Puri ke Kampung Laut.

Masjid Kampung Laut perlu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang, khususnya kehebatan seni binanya.- Malaysiapost