KERAJAAN terpaksa melaksanakan langkah tegas dengan hanya memberi kebenaran merentas negeri kepada mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keputusan itu bagi membendung penularan Covid-19.
Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat untuk membiasakan rakyat dengan norma baharu selain dapat merancakkan kembali ekonomi negara terutara bagi industri berkaitan pelancongan.
“Kebenaran untuk merentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran PDRM hanyalah kepada mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, walaupun teruja dengan kelonggaran berkenaan orang ramai diingatkan bertanggungjawab dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Elakkan dari pergi ke tempat yang sesak, sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan dan pastikan anda scan MySejahtera di mana sahaja anda berada,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Junaidi berkata, kes brought-in-dead (BID) atau kematian di luar hospital boleh ditangani sekiranya semua pihak lebih berdisiplin dalam melaksanakan SOP dan menerima dos lengkap vaksin.
“BID berpunca kerana pesakit tidak sempat untuk dibawa ke hospital. Bagi yang melibatkan kes Covid-19, ia berpunca kerana pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala dan sebab kematian adalah berpunca daripada kandungan oksigen dalam badan yang rendah.
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat negara ini supaya sentiasa peka, prihatin dan lebih berwaspada akan infomasi yang telah diwar-warkan kerajaan berkenaan wabak yang sedang kita hadapi kini.
“Wabak Covid19 adalah benar. Jadilah warga negara yang bertanggung jawab. Sama-samalah kita menjaga kita,” katanya. – Malaysiapost

