KEGAGALAN parti-parti bertungjangkan Melayu dan Islam membentuk kesepakatan bakal menguntungkan Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu ditegaskan Tan Sri Annuar Musa yang berkata, tiada ramuan yang ampuh untuk menyekat penguasaan PH dalam landskap politik negara, selain daripada mewujudkan penyatuan di kalangan parti-parti yang berteraskan Melayu dan Islam dalam satu acuan.
“Sebarang agenda bersifat memecah belah solidariti kelompok teras, iaitu Melayu/Islam/Bumiputera adalah ramuan tepat dan merupakan percubaan memperkasa semula PH,” katanya di Facebook, hari ini.
Reaksi bekas Setiausaha Agung Umno itu dipercayai merujuk kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menegaskan parti itu kekal dengan pendirian yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) Mac lalu, menolak kerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya.
“Tidak timbul isu Umno cepat atau lambat membuat keputusan (untuk bekerjasama), sebaliknya perkara itu sudah dimuktamadkan pada PAU lalu yang memutuskan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, noktah!” kata Zahid.
Justeru, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan Umno bertanding secara solo atas tiket BN dan dijangka banyak pertembungan tiga penjuru berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara BN, PN dan PH.
Dalam pada itu, Annuar secara sinis berkata, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) telah beberapa kali menggagalkan percubaan ‘cikgu’ dan maulana PH.
“PH amat berharap dan menanti-nantikan saat Umno tidak lagi dalam saf penyatuan ummah.
“Setakat ini muafakat Melayu bersama rakan rakan lain yang sederhana dan setiakawan BN PN telah berkali kali menggagalkan perancangan cikgu dan maulana PH,” katanya
Cikgu dan maulana PH yang dimaksudkan Annuar itu dipercayai merujuk kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, sebuah audio rakaman suara dipercayai antara Ahmad Zahid dengan Ketua Pembangkang itu tersebar di media sosial.
Dalam rakaman suara itu, Ahmad Zahid mengakui Anwar adalah gurunya dalam melakar percaturan politik. – Malaysiapost

