POLIS menahan seorang lelaki kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen pengenalan diri untuk pendaftaran talian telefon prabayar.
Suspek berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kota Bahru, kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, pihaknya mengesan wujud aktiviti pemalsuan tersebut, yang kemudian digunakan untuk pendaftaran telefon talian prabayar.
“Justeru, melalui siasatan dijalankan, suspek didapati mengubahsuai butiran kad pengenalan miliknya dengan memasukkan maklumat pelanggan pascabayar yang berdaftar dengan sebuah syarikat telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Kamaruddin berkata, kad pengenalan itu kemudian digunakan untuk membuka akaun baharu prabayar di syarikat telekomunikasi yang sama.
“Selepas akaun baru dibuka, suspek akan mendaftarkan nombor ke dalam aplikasi yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi.
“Apabila pendaftaran berjaya, sistem akan beranggapan nombor baharu itu adalah milik pelanggan sedia ada dan akan membenarkan transaksi pemindahan kredit dari nombor pascabayar ke nombor prabayar yang ditentukan oleh suspek.
“Selain itu, turut dirampas tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, enam keping sim kad dan beberapa peralatan komputer,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, syarikat telekomunikasi berkaitan mengalami kerugian RM3,882 akibat pemindahan kredit secara tidak sah ini.
Menurutnya, suspek sedang menjalani tahanan reman sehingga 23 Oktober ini.
“Justeru, polis percaya dengan penahanan suspek, sekurang-kurangnya lapan kes membabitkan modus operandi sama berjaya diselesaikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

