PRN Sabah: Musa Aman sokong saya – Calon BN Sungai Sibuga

0
2

CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, mengakui menerima sokongan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Mohamad Hamsan Awang Supain, bekas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) ketika berkata, mengakui dihubungi pegawai kanan Musa sebulan lalu untuk memberitahu bahawa beliau akan dipilih menjadi calon BN di kerusi itu.

Beliau juga diminta untuk memastikan kemenangan di kerusi berkenaan, sekali gus mengekalkan tradisi kerusi itu milik BN.

“Beliau (Musa) hubungi saya melalui pegawai kanan beliau. Dia kata, saya jadi calon di Sungai Sibuga, pastikan Sungai Sibuga tidak jatuh kepada Warisan.

“Kita kekalkan tradisi bahawa Sungai Sibuga adalah milik BN,” katanya pada sidang media di Sandakan hari ini.

Mohamad Hamsan berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya yang bertanggungjawab mengendalikan pembangunan di Sandakan untuk memajukan kawasan itu jika diberi peluang oleh rakyat pada PRN, 26 September depan.

Katanya, Libaran bukanlah kawasan yang baru kepadanya kerana sebahagian besar projek pembangunan di kawasan itu sebelum ini adalah di bawah pentadbirannya.

“Itu (pembangunan) Tan Sri Musa minta saya untuk rancang, saya rancang dan peruntukan diberi kepada MPS dan saya adalah orang yang melaksanakannya.

“Jadi pada saya, dalam aspek rancangan pembangunan strategik untuk Libaran khususnya Sungai Sibuga, saya boleh lakukannya,” katanya.

Mohamad Hamsan akan berdepan empat pencabar di kerusi DUN Sungai Sibuga termasuk bekas Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin yang juga adik Yang Dipertua Negeri Sabah.

Tiga yang lain adalah calon daripada Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Kerusi DUN Sungai Sibuga sebelum ini disandang Musa sejak 1994. – Malaysiapost