Pemuda Umno Arau dakwa Shahidan langgar disiplin, tata etika Umno

0
2
Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Shahidan Kassim

PEMUDA Umno Bahagian Arau bertindak menggesa supaya tindakan dikenakan terhadap Ketua Umno Bahagian Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang dikatakan melanggar disiplin dan tata etika sebagai ahli Umno.

Gesaan itu dibuat melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan bertarikh 18 Oktober yang kini tular di media sosial.

Surat berkenaan turut menyatakan beberapa kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Shahidan ketika Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Cawangan-Cawangan Umno Bahagian Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Kangar pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Pemudanya, Syed Atif Syed Abu Bakar, antara pelanggaran disiplin itu mengibarkan bendera Bersatu bersama bendera Umno sebagai hiasan di ruang majlis perasmian.

“Mengedarkan draf usul yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada Ketua-Ketua Cawangan dan Ketua-Ketua Sayap Cawangan.

“Membuat ucapan yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada Ketua-Ketua Cawangan dan Ketua-Ketua Sayap,” katanya daripada petikan surat yang tular itu.

Terdahulu surat dua halaman itu ditularkan penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin menerusi laman Twitternya hari ini.

Selain itu, Syed Atif juga mahu tindakan tegas diambil bagi mengelakkan kekeliruan yang berterusan dalam kalangan ahli-ahli dan pimpinan pelbagai peringkat khususnya di Bahagian Arau dan Perlis.

Sementara itu, beliau turut membidas kenyataan Shahidan yang mencadangkan agar Umno dan Barisan Nasional (BN) Melaka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Nak buat kenyataan apa pun, kena tengok ‘bin’ dulu… Arau bin Perlis… bukan ‘bin’ Melaka.. Jauh sangat melangkau nak masuk campur hal orang.

“Sebagai AJK Umno Bahagian Arau, saya mengesahkan bahawa tiada perbincangan dalam perkara ini. Cadangan ini hanya bersifat individu dan tidak sama sekali melibatkan Umno Bahagian Arau.

“Tak habis-habis nak jadi ejen propaganda Bersatu dalam Umno,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu Shahidan melalui laman Facebook rasminya mendakwa UMNO Bahagian Arau mencadangkan agar UMNO dan BN Melaka bekerjasama dengan Bersatu dan Pas dalam PRN Melaka pada 20 November ini.

Shahidan berkata, kemenangan akan dicapai dengan cemerlang melalui kerjasama dan perpaduan wajib bagi Umno Melaka serta pendekatan secara solo adalah tidak wajar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here