Mengapa Tony Pua disekat ke luar negara sedangkan Najib dibenarkan selepas didakwa? – Kit Siang

0
1

AHLI Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyokong tindakan Pusat Melawan Rasuah dan Kronisme (C4), yang menuntut penjelasan Pejabat Peguam Negara berhubung kebenaran diterima bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk ke luar negara.

Veteran DAP itu berpendapat, C4 telah membangkitkan persoalan berkepentingan awam yang perlu dijawab oleh Peguam Negara sendiri.

“Semalam, C4 menuntut penjelasan mengenai mengapa Pejabat Peguam Negara tidak membantah permohonan daripada Najib untuk mendapatkan semula dokumen perjalanan beliau walaupun selepas disabit bersalah.

“Dan beliau juga mempunyai perbicaraan yang sedang berlangsung, serta bagaimanakah kerajaan akan memastikan Najib tidak akan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, persoalan doangkitkan C4 itu bertambah relevan lagi memandangkan sebelum ini Ahli Parlimen PJ Utara, Tony Pua dihalang daripada meninggalkan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 2 Julai 2015 .

Kit Siang berkata, Tony Pua ingin ke Yogyakarta, Indonesia ketika itu dan pasport beliau masih sah sehingga 23 April 2020.

“Persoalan ini perlu dijawab oleh Peguam Negara sendiri sekiranya beliau berpegang dan percaya kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta prinsip-prinsip tadbir urus yang baik mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Pada 18 Oktober lalu, permohonan Najib mendapatkan semula pasportnya untuk ke Singapura bagi melawat anak perempuannya yang dijangka bersalin tidak lama lagi, dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said membenarkan permohonan pelepasan pasport berkenaan bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.

Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas mendapati terdapat alasan yang munasabah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here