DAP setuju guna logo PH hadapi PRN Melaka

0
2

DAP tetap membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, walaupun kini sedang mencabar keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di mahkamah.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata disebabkan pergolakan dalaman kerajaan negeri Melaka dan tindakan salah Ketua Menteri menasihatkan Yang di-Pertua Negeri untuk bubar DUN, maka tiada pilihan lain selain mencabar di mahkamah.

Menurutnya, pada masa yang sama DAP tetap menggerakkan jentera bagi bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam PRN yang akan diadakan pada 20 November ini.

“Semboyan PRN Melaka telah dibunyikan. Dalam masa sehari, selepas mesyuarat di ibu pejabat DAP Melaka, saya dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong bersama kepimpinan DAP Melaka telah menjelajah seluruh negeri Melaka.

“Kami melawat lebih 500 ahli akar umbi dalam 10 DUN di Paya Rumput, Pengkalan Batu, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Duyong, Ayer Keroh, Bemban, Gadek, dan Lendu untuk meninjau persiapan operasi kempen pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu DAP Kebangsaan dan DAP Melaka sebulat suara bersetuju untuk menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) sebagai lambang perjuangan dalam PRN Melaka.

Guan Eng turut menegaskan sekali lagi bahawa DAP menyokong Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka.

“DAP juga menolak Norhizam Hassan Baktee yang telah mengkhianati mandat rakyat untuk bertanding dalam PRN sebagai calon PH,” tegasnya.

Menurutnya, selain itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus memanggil semua parti politik tanpa memihak kepada parti pemerintah untuk bincang tentang prosedur operasi standard (SOP) PRN.

“Agar pilihan raya dapat dijalankan dengan adil, bebas, berkecuali dan bersih serta selamat tanpa melumpuhkan perjalanan demokrasi dalam PRN ini.

“Biar rakyat buat keputusan tanpa dikongkong, diugut, difitnah atau disogok politik wang. Rakyat Melaka berhak mendapat kerajaan yang mewakili dan menjaga semua tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here