WALAUPUN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlaku di luar jangkaan, Umno sudah bersedia kerana ‘gendang telah dipalu maka membujur lalu melintang patah’, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, walau apa pun cabaran Umno akan mendepani PRN Melaka demi tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.
“Syukur ke hadrat Ilahi jentera Umno bagi PRN Melaka telah pun dilancarkan dengan semangat membara. Seluruh ahli, penyokong dan pendokong Umno siap siaga memastikan kemenangan milik mereka.
“Tiada kawasan panas atau sejuk, hitam atau putih, Umno akan harungi dengan keazaman yang jitu.
“Umno bertindak dan berstrategi secara kolektif. InsyaAllah kemuafakatan itu membawa kepada kejayaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRN Melaka pada 20 November 2021.
Semalam Ahmad Zahid melancarkan Jentera PRN Umno Melaka di Masjid Tanah.
Menurut Ahmad Zahid semalam, pemilihan calon Umno ketika ini bertumpu kepada rekod kemenangan calon berdasarkan data dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan ke-14 lalu. – Malaysiapost

