WARGA Malaysia yang ditahan di Australia kerana disyaki menyeludup 450 kilogram (kg) dadah jenis heroin baru-baru ini, berkemungkinan bukan hanya keldai dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Razarudin Husain, berkata ia berdasarkan maklumat yang mendapati lelaki berusia 38 tahun itu sudah berada di Australia sejak Januari 2020 lagi.
Menurutnya, siasatan berhubung kes berkenaan masih dijalankan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat diberi pihak Australia yang dapat membantu dalam siasatan kes terbabit.
“Lelaki berusia 38 tahun itu telah masuk ke Australia pada Januari 2020 dan saya boleh katakan mungkin suspek bukan keldai dadah kerana telah duduk di Australia lebih setahun.
“Kalau keldai dadah, modus operandinya akan bawa dadah khususnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menggunakan kapal terbang, turun di lapangan terbang sebelum ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan kes itu dijangka mengambil masa dua minggu hingga sebulan lagi kerana pihaknya sedang mengumpul maklumat yang berkualiti.
“Ini satu sindiket yang besar dan perlukan siasatan rapi serta tidak mahu menjalankan operasi tanpa maklumat berkualiti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Australia menahan warga Malaysia kerana cuba menyeludup masuk 450 kg dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke negara itu.
Dadah itu ditemui dalam kontena yang membawa jubin dari Malaysia ke Melbourne. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Polis Johor

