MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyambut baik keputusan kerajaan memberi moratorium tanpa faedah selama tiga bulan kepada B50 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
Pengerusinya Abdul Halim Husin, bagaimanapun berpendapat pelbagai pelaksanaan itu belum cukup untuk memulihkan keadaan ekonomi yang sangat terkesan.
Menurutnya, ia adalah kerana bantuan tiga bulan yang diberi terlalu singkat berbanding dengan tempoh pandemik yang berpanjangan selama hampir dua tahun.
“Bantuan ini tidak membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjana pekerjaan hampir 900,000 pekerja di dalam negara, dan menggaji pekerja lebih 80 peratus pekerja.
“Oleh itu MTEM mencadangkan kepada kerajaan untuk melakukan penambahbaikan berdasarkan libat urus bersama PMKS dan bukan dikalangan Ahli Parlimen sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Halim berkata, antara penambahbaikan itu adalah penambahan tempoh moratorium bagi golongan B50 kepada enam bulan.
“Selain itu penilaian Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Data Systems Sdn Bhd (CTOS) untuk B80 perlu ditangguhkan selama enam bulan dan 50 peratus PMKS terbawah perlu juga diberi moratorium yang serupa
“Kerajaan juga boleh menawarkan moratorium bersasar tanpa faedah dengan menghadkan jenis nilai pinjaman,” katanya.
Menurutnya, Dana Pusingan khusus untuk PMKS dan perniagaan yang belum disenaraikan perlu diwujudkan khusus buat 500 usahawan Bumiputera yang terbukti kewibawaan mereka.
“Sekiranya kerajaan boleh memberi dana jamin sebanyak RM500 juta kepada Syarikat Penerbangan AirAsia, tiada alasan kerajaan untuk tidak membantu sekurang kurangnya 500 usahawan PMKS dengan jumlah yang sama,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengamati hakikat bahawa dengan adanya penangguhan bayaran, aliran tunai akan jadi lebih baik kepada bank dan institusi kewangan.
“Dalam jangka masa tiga hingga enam bulan ini yang diberi, PMKS boleh menarik nafas lega dan dapat memberi mereka banyak masa untuk kembali pulih sehingga menjelangnya suku pertama 2022.
“Kita menaruh harapan kepada kerajaan agar lebih prihatin dan memahami permasalahan rakyat dan akan melakukan apa jua tindakan demi untuk mengembalikan ekonomi kita ke tahap yang sebelumnya,” katanya. – Malaysiapost

