YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke universiti di United Kingdom (UK) bagi sesi pendaftaran anakanda bongsu baginda berdua, semalam.
Menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara memaklumkan, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah akan melanjutkan pengajian beliau di peringkat Sarjana Muda dalam bidang seni lukis, seni reka dan media di universiti berkenaan.
Turut mengiring, puteri sulung mereka Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa meninjau sekitar kawasan universiti tersebut.
“Seri Paduka Baginda berdua kini sedang beristirehat di London setelah mengadakan Lawatan Khas UK bermula 17 September lalu,” menurut kenyataan itu.
Baginda berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada minggu hadapan dan lawatan khas ke UK berkenaan adalah kali kedua sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Lawatan pertama Baginda adalah selama tujuh hari pada 9 Disember 2019. – Malaysiapost

