PM ajak rakyat ganding bahu pulihkan krisis ekonomi, kesihatan

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini sebagai satu Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, rakyat perlu berganding bahu untuk memulihkan negara selain menyesuaikan diri dalam norma baharu.

Katanya, apa jua perbezaan perlu dijadikan kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan pula dijadikan sebagai sumber kekuatan.

“Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

“Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas sempena sambutan Maulidur Rasul 2021M/1443H bertema ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, dengan kepercayaan bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan suri teladan yang terbaik umat manusia, kerajaan telah dan akan meneladani inisiatif dan strategi yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Katanya, untuk tujuan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif akan diperkenal dan dirancang oleh kerajaan, demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan merasai nikmat dan kemakmuran negara, ‘No one will be left behind’.

“Semangat Maulidur Rasul perlu terus disemarakkan dan disemai dalam jiwa setiap umat Islam sebagai bukti ketulusan cinta kita terhadap Rasululullah SAW biarpun kita menyambut dalam suasana yang sederhana dalam norma baharu.

“Maulidur Rasul yang kita sambut pada hari ini, hakikatnya bukanlah sekadar sambutan hari lahir Baginda Rasulullah SAW semata-mata. Tetapi ia membawa suatu makna yang amat besar kepada seluruh manusia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here