PENGERUSI Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan menerima empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ‘melompat’ hingga tumbangnya kerajaan negeri Melaka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, pendirian pakatan pembangkang itu membabitkan isu lompat parti adalah mengelirukan dengan perkembangan terkini politik di Melaka.
“PH ini nak lawan lompat parti atau sokong lompat parti?
“Ataupun bantah mereka yang lompat keluar dari parti mereka tetapi sokong yang lompat masuk ke mereka?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Najib merujuk kepada laporan media berhubung empat bekas ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hingga tumbangnya kerajaan negeri menyertai PH malam tadi.
PH pada September lalu menandatangani Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan dan antara perkara yang dipersetujui adalah mengenai Rang Undang-undang berkenaan Anti-Lompat Parti.
Selain itu, MoU berkenaan akan memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepatkan tindakan untuk pelaksanaan pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilihan.
Beliau turut menemplak seorang daripada empat ADUN terbabit yang sebelum ini ‘melompat’ keluar daripada PH untuk menjadi wakil rakyat Bebas, namun lompat kembali ke PH.
“Ada seorang penembak lagi dahsyat. Suka hati dia lompat keluar, lompat masuk,” sindirnya.
Terdahulu media melaporkan empat bekas ADUN Melaka iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas); Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) berjumpa Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Norhizam sebelum ini pernah diberi gelaran juara penembak babi secara seloroh oleh Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Omar Jaafar dalam Sidang DUN pada 21 November 2019. – Malaysiapost

