Lebih 3,000 kes COVID-19 di UK semalam

0
2

(Dunia) UNITED Kingdom (UK) mencatatkan lebih 3,000 kes COVID-19 semalam iaitu kenaikan harian tertinggi sejak pertengahan Mei lalu.

Menurut makluman rasmi kerajaan, sehingga jam 9 pagi semalam (waktu tempatan), lebih 3,330 kes COVID-19 disahkan oleh makmal di UK.

Berita Harian yang memetik Agensi melaporkan, rekod itu menyusuli kenaikan jangkitan COVID-19 kepada 3,497 kes pada hari sebelumnya, yang juga antara kenaikan tertinggi pernah dicatatkan sejak Mei lalu.

Secara keseluruhan, 368,504 kes disahkan positif COVID-19 di UK dengan lima mangsa meninggal dunia semalam selepas 28 hari disahkan positif COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban seramai 41,628 orang.

Kebanyakan yang meninggal dunia adalah pesakit berusia antara 67 hingga 86 tahun dan mereka yang ada masalah kesihatan lain.

“Seramai 244 orang diuji positif COVID-19 di Scotland dalam tempoh 24 jam lalu, juga jumlah kes harian tertinggi sejak 6 Mei lalu,” menurut pihak berkuasa negara itu.

Statistik menunjukkan, 22,679 orang kini positif di Scotland, berbanding 22,435 sehari sebelumnya.

Sebanyak 162 kes lagi sudah disahkan di Wales, menjadikan jumlah kes yang disahkan di negara ini meningkat kepada 19,390 orang.

Menurut pihak berkuasa Kesihatan Awam Wales, tiada kematian dicatatkan dan jumlah kematian kekal 1,597 mangsa. -Malaysiapost