Enggan terima vaksin, susahkan diri sendiri – PM

0
2
{"source":"other","uid":"3F5F2710-B87A-4FF5-86BA-45E10FB6FDE2_1634458425485","origin":"gallery","fte_sources":[],"used_premium_tools":false,"used_sources":"{"version":1,"sources":[]}","premium_sources":[],"is_remix":false}

KERAJAAN bukan sengaja mahu menyukarkan kehidupan golongan yang berdegil menerima suntikan vaksin Covid-19 ketika ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, ianya berpunca daripada sikap golongan itu sendiri.

Beliau berkata, meskipun imunisasi itu tidak diwajibkan buat masa ini, namun ianya membolehkan penerima vaksin lengkap menikmati kemudahan susulan pelbagai kelonggaran yang diberikan, termasuk kebenaran merentas negeri.

Oleh itu, Perdana Menteri menyifatkan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung perkara itu, semalam, telah disalah anggap pihak tertentu.

“Golongan (layak) yang tiada vaksin, tidak mendapat kemudahan sebagaimana diperoleh mereka yang sudah lengkap vaksinasi.

“Sebagai contoh, mereka tiada vaksin ini tidak dibenarkan merentas negeri. Orang lain yang sudah lengkap vaksinasi boleh merentas negeri untuk berjumpa ibu bapa mereka di kampung.

“Begitu juga dengan kemudahan lain seperti umrah dan tahun depan pula ibadah haji. Syarat untuk menunaikan umrah dan haji yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi ialah perlu lengkap dua dos vaksin. Jika tidak, mereka tidak boleh ke sana.

“Itu mungkin ‘kesusahan’ dimaksudkan YB KJ (Khairy), bukan kerajaan yang akan menyusahkan atau sengaja hendak menyusahkan golongan belum divaksin. Tidak perlulah sampai dipaksa menerima vaksin, sepatutnya ia atas kesedaran sendiri,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Semalam, Khairy menegaskan, golongan antivaksin berkemungkinan terpaksa berdepan ‘kehidupan harian yang sukar’ kerana tidak akan dibenarkan menikmati kelonggaran sebagaimana diperoleh individu lengkap vaksinasi.

Katanya, pendekatan terbabit ialah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih tidak divaksin, kecuali golongan tidak boleh menerima imunisasi itu atas faktor kesihatan serta dikecualikan dalam aplikasi MySejahtera. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Ismail Sabri Yaakob

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here