PRN Melaka: PAS harap tiada pertembungan sesama parti kerajaan

0
2

PAS mengesahkan parti itu akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan berharap tidak ada pertembungan sesama parti yang membentuk kerajaan Pusat ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PAS berharap dalam PRN itu nanti ia akan ditandingi berteraskan muafakat antara parti kerajaan.

“Memang menjadi hasrat PAS bertanding dalam PRN Melaka, cuma berapa kerusi belum diputuskan lagi. Kita berharap PRN Melaka nanti akan berteraskan muafakat sebagaimana yang ada di peringkat kerajaan Persekutuan.

“Kita akan bersama dengan semua parti yang ada dengan kerajaan Persekutuan dan berharap tidak ada pertembungan antara satu sama lain,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu kali ke-54, hari ini.

Mesyuarat berkenaan diadakan secara hibrid iaitu sebahagian hadir secara fizikal dan sebahagian lagi secara maya dan dirasmikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PAS gagal memenangi semua 23 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di Melaka.

Pada 4 Oktober lalu, DUN Melaka terbubar selepas Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here